Saturday, December 3, 2011

Nota Jutawan Nota Kewangan - Dr.Irfan Khairi



Buku ini adalah buku ketiga hasil tulisan Dr Irfan Khairi selepas Nota Jutawan Nota Motivasi dan Nota Jutawan Nota Perniagaan. Di dalam buku ini penulis memberi panduan kewangan yang boleh digunapakai oleh pembaca sekalian. Kewangan adalah satu aspek yang sangat penting dalam keusahawanan kerana wang adalah nadi perniagaan. Selain perniagaan, perancangan dan pengurusan kewangan juga amat penting dalam kehidupan seharian dan seterusnya memastikan perjalanan hidup tersusun dengan teratur. Tetapi, apa yang lebih penting adalah bagaimana menguruskan wang secara bijak.

Kebanyakan kita berfikiran bahawa orang kaya sahaja yang perlu merancang kewangan sebab duit mereka banyak, takut hilang tidak tahu ke mana. Silaplah jika kita berfikiran begitu. Semua orang perlu bijak mengurus dan merancang kewangan mereka. Bagi orang yang makan gaji, ada yang berbelanja sakan sampai duit gaji tinggal cukup-cukup untuk tunggu gaji bulan berikutnya. Berapakah baki wang yang akan kita perolehi selepas ditolak?. Pembaca boleh memperbaiki dan mengenal pasti prestasi kewangan dengan berpandukan pedoman berikut:

1 - Kenal pasti kedudukan kewangan semasa.
2 - Kenal pasti matlamat kewangan.
3 - Kenal pasti tindakan alternatif yang sesuai dengan diri sendiri dengan mengambil perhatian situasi kehidupan, nilai peribadi, faktor ekonomi dan membuat penilaian risiko.
4 - Mencipta dan melaksanakan pelan tindakan kewangan.
5 - Menilai dan menyemak semula rancangan kewangan untuk memastikan pelan yang dirancang itu berjaya.

Buku ini dipersembahkan secara santai dan bersahaja, namun idea-idea yang disampaikan adalah amat serius untuk semua pembaca mempraktikkan supaya pembaca dapat menguruskan kewangan dengan lebih baik, bijak dan berhemah. InsyaAllah!.

3 KUNCI KEWANGAN ASAS:
- BELANJA KURANG DARI PENDAPATAN
- TAMBAHKAN SIMPANAN
- TAMBAHKAN PENDAPATAN